[ BULETIN SRD JOHOR ]UPDATE ON 2MAY!! (click here!!)

Welcome to the Official 'Southern Revolution Development Motorsport'
....................Recognized by Ministry of Youth and Sports Malaysia

.

DUNIA Kelab Berkereta SRD MOTORSPORT Johor
Kelab ini ditubuhkan atas dasar berkongsi minat yang mendalam dalam arena permotoran. Kelab ini lebih kepada rekreasi dan berkumpul sesama ahli untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan adanya kelab ini,semua ahli yang menyertai kelab ini dapatlah bersama-sama meluangkan masa bersama rakan-rakan untuk beriadah seperti berkonvoi, majlis makan-makan, bermandi-manda, bersukan dan sebagainya. Kewujudan laman web ini juga dapatlah sedikit sebanyak membantu ahli dan pengguna internet untuk dapatkan info-info terkini dan juga gambar-gambar yang belum sempat dilihat. Diharap dengan adanya kelab ini,dapatlah kita sama-sama hindari dari gejala-gejala yang tidak sihat yang akan merosakkan akhlak remaja masa kini.

.



SRD bermula di Johor Bahru dan ditubuhkan pada 3 DISEMBER 2006. Kelab berkereta ini asalnya ditubuhkan hanya untuk suka-suka dan bermula dari sebuah kumpulan kelab kecil dibandaraya ini yang dianggotai hanya 5 orang ahli.

Insan yang mula-mula terlibat dalam penubuhan kelab ini adalah saudara Sunnock, Lani, Abg Khai, Hilen dan Abg Tajul. Generasi asal yang terbabit dalam penubuhan kelab ini ada yang sudah tidak melibatkan diri mereka namun mereka masih lagi sentiasa berhubung dengan kami.

Untuk pengetahuan semua, kelab berkereta ini dahulunya dikenali dengan nama Satria Racing Development Motorsport yang hanya terbuka pada pemilik kereta Satria kini telah mendatangkan putaran kepada satu revolusi baru sehingga ditransformasi sebagai Southern Revolution Development Motorsport secara rasminya.

Semenjak itu SRD semakin berkembang dengan bertambahnya penyertaan ahli sehingga lebih 50 keahlian dan akan terus bertambah dan bertambah dari semasa ke semasa dengan hanya keahlian dari seluruh Johor dan kini SRD mempunyai cawangan utama iaitu Skudai, Taman U dan Bandar Seri Alam serta 1 kumpulan kecil yang membabitkan ahli-ahli SRD yang menetap dan bekerja di Shah Alam.

Aktiviti wajib SRD setiap tahun adalah konvoi, sukan bowling, Majlis Jamuan Hari Raya dan sebagainya.

Antara orang-orang lama yang masih ada dalam kelab ini sehingga kini ialah saudara Sunnock, Apis Evo, Apis L5, Anep, Mael, Sapik, Wan, Napi, Abg Tajul dan beberapa nama yang gagal dikesan.

Pada tahun 2008, kelab ini secara rasminya didaftarkan di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan hasil usaha Abg Tajul dan ahli SRD pada masa itu.

Alhamdulillah, sepanjang 3 tahun yang singkat ini SRD telah diduga dengan berbagai cubaan serta permasalahan, namun kerana sayangnya kami pada kelab membuktikan kami mampu bertahan selama tempoh ini. Insyallah, andai diizinkan Allah s.w.t. kami akan mula mengorak langkah dengan menambah keahlian dari seluruh Malaysia. Semoga SRD akan terus maju dan maju ke hadapan.



O b j e k t i f... &... M a t l a m a t ..S R D

Untuk menerapkan cara pemanduan kereta yang lebih selamat, berhemah dan berdisiplin dikalangan ahli kelab agar dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan-raya disamping menyahut seruan kerajaan 'Pandu Cermat, Jiwa Selamat'

Untuk mengeratkan dan mengekalkan hubungan silaturrahmi sesama ahli

Untuk mengisi masa terluang ahli kelab dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah agar memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli kelab malah kepada masyarakat setempat dan mencegah pandangan negatif masyarakat kepada ahli kelab yang selalunya dikaitkan dengan lumba haram dan pelbagai gejala negatif.

Untuk menggalakkan dan membangunkan sukan permotoran di peringkat kelab.

Menjalankan sebarang kegiatan amal atau sebarang jenis perniagaan untuk tujuan menambah kewangan kelab, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang Negara.

Untuk mewakili kelab dalam mana-mana pertandingan.

Untuk menjadikan kelab ini sebagai satu kelab yang berjaya diantara Kelab-Kelab Permotoran yang berada di Malaysia. Selain sebagai antara kelab yang aktif, mampu bertahan melebihi 10 tahun.

Melahirkan ahli yang mempunyai semangat serta disiplin, kesungguhan yang tinggi bagi mencapai kecemerlangan serta meningkatkan imej Kelab.

Untuk memastikan bahawa Perlembagaan dan Kaedah-Kaedah Kelab dipatuhi dan diikuti oleh semua ahli.


KEISTIMEWAAN DAN HAK AHLI
Tiap-tiap ahli Kelab dibenarkan menyertai dalam segala kegiatan yang dianjurkan oleh Kelab ini.

Setiap ahli Kelab berhak menerima dengan percuma satu set pelekat rasmi kelab dan satu salinan Perlembagaan Kelab sekali sahaja semasa pendaftaran.

Ahli-ahli berpeluang mendapat kadar harga istimewa setiap kali membuat servis, membetulkan kerosakan atau memasang part/barang pada kereta ahli di Bengkel Kelab.

PENYERTAAN DAN KEHADIRAN
Setelah menjadi ahli berdaftar, semua ahli dikehendaki mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kelab supaya tidak ada berlakunya salah guna nama Kelab ini.

Ahli-ahli dikehendaki menghadiri perjumpaan dan sebarang aktiviti yang dijalankan oleh kelab, kecuali ada perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Kegagalan berbuat demikian sebanyak tiga kali berturut-turut, tindakan disiplin akan diambil.

Semua Ahli Kelab dilarang membuat apa jua aktiviti atau perjumpaan yang menggunakan nama Kelab tanpa kebenaran.

Kelab ini tidak bertanggungjawab jika terdapat ahli yang terlibat dalam kegiatan negatif seperti lumba haram, pengubahsuaian secara keterlaluan yang tidak disahkan oleh JPJ dan sebarang perkara yang mencemarkan nama baik kelab.

Ahli-ahli hendaklah menjaga tata susila ketika berada diatas jalan-raya dan jika terdapat aduan mengenai tingkah-laku segelintir ahli kelab, maka tindakan akan diambil.

Jika terdapat ahli yang melanggar syarat-syarat dan peraturan, pihak kelab akan menggugurkan nama ahli terbabit dari menyertai kelab ini. Dengan adanya peraturan yang telah ditetapkan, tujuannya adalah agar kita dapat sama-sama memajukan lagi kelab kita ini agar lebih berdaya saing dengan kelab-kelab yang lain, dan juga dapat mengelakkan sebarang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

AKTIVITI
Dijalankan seperti yang dirancang dalam mesyuarat agung atau mesyuarat ahli jawatankuasa.

PINDAAN PERLEMBAGAAN
Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.

Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan mesyuarat yang memutuskan perihal perubahan atau pindaan tersebut. Perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak mendapat kelulusan.

LARANGAN
Segala bentuk perjudian dan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan Undang-undang Malaysia adalah dilarang dilakukan dalam mana-mana premis Kelab.

Kelab tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan ke dalam Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.

Kelab ini tidak boleh menjalankan aktiviti loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli Kelab atau tidak, atas nama Kelab atau pemegang-pemegang jawatan tanpa kelulusan daripada Mesyuarat Agung Tahunan dan pihak berkuasa.

Kelab tidak boleh terlibat dalam mana-mana kegiatan politik atau parti politik, atau bergabung atau mengadakan hubungan dengan apa jua parti politik dan menggunakan nama Kelab dalam apa jua isu-isu politik.


Sebarang pertanyaan, anda boleh kemukakan di ruangan [ COMMENT ] atau emailkan kepada srdmotorsport@gmail.com






" BELIA PECUT BENCI DADAH "

AMARAN KERAS!! SEBARANG BENTUK PENYALINAN ATAU PENGGUNAAN LOGO DAN NAMA SRD MOTORSPORT TANPA KEBENARAN ADALAH DILARANG SAMA SEKALI. TINDAKAN UNDANG-UNDANG AKAN DIAMBIL JIKA BERLAKUNYA PENYALAHGUNAAN TERSEBUT.

KELAB BERDAFTAR DI BAWAH KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN MALAYSIA